Dua kilang memproses sarang burung walit mengguna bahan kimia berbahaya dikenal pasti
Posted on October 24, 2010, Sunday
SEREMBAN: Dua buah kilang memproses sarang burung walit dikenal  pasti menggunakan bahan kimia berbahaya untuk menjadikan warna sarang  burung itu kemerah-merahan, iaitu kategori yang terbaik, bertujuan  menipu pembeli. 
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Chua Tee Yong  berkata perbuatan itu menyebabkan China, selaku pengimport utama sarang  burung itu, menghantar aduan kepada kementeriannya memandangkan  penggunaan bahan kimia itu yang boleh menyebabkan kanser.
Sebagai tindakan, beliau berkata kementeriannya sudah pun mengarahkan  kedua-dua kilang terbabit menghentikan pengeluaran dan tindakan akan  diambil oleh jabatan kesihatan.
China mengimport sarang burung walit sebanyak RM1 bilion dari  Malaysia, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Sehari  Perladangan Burung Walit anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar  Negeri Sembilan dan Persatuan Pengusaha-pengusaha Burung Walit Negeri  Sembilan di sini semalam.
Chua berkata garis panduan untuk pengusaha burung walit akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.
“Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan  garis panduan ini. Ini akan membolehkan pihak berkuasa mengadakan  tindakan memantau industri ini supaya rumah burung itu tidak dibuat  sesuka hati,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu merekodkan kira-kira 6,000 orang  pengusaha burung walit tetapi beliau menganggarkan jumlah tidak rasmi  mungkin mencecah dua kali ganda.
Bernama difahamkan sarang burung walit yang sudah diproses untuk  dijadikan makanan dan minuman kesihatan boleh mencecah sehingga RM8,000  sekilogram. — Bernama
 
 
No comments:
Post a Comment