Monday, March 26, 2012

Teknologi kenal pasti sarang burung walit bermasalah


Berita Harian : www.bharian.com.my

SEBANYAK 60 pengusaha sarang burung walet tempatan dan kilang pemprosesannya sudah menggunakan Sistem Kesan dan Jejak Dalam Talian Sarang Burung Walet yang menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

Jumlah itu adalah enam peratus daripada keseluruhan 980 pengusaha tempatan yang sedang memajukan produk berdaya maju tinggi yang mempunyai potensi pasaran besar khususnya dari China itu.
Sistem Kesan dan Jejak Dalam Talian Sarang Burung Walet itu dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Veterinar, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) isi kandungan dan infrastruktur komunikasi (CCI) itu dilancarkan pada 12 Ogos tahun lalu.

Buat masa ini, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memperoleh hak untuk mengeksport secara terus ke China, yang juga pasaran sarang burung walet terbesar di dunia.

Sijil RFID dari SKMM diperlukan untuk membolehkan sarang burung walet yang bermasalah dikesan menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan lokasi rumah sarang burung berkenaan.

Ia adalah satu daripada tiga syarat yang dikenakan kepada syarikat tempatan yang mengeksport sarang burung walet ke China.
Dua syarat lain ialah sijil penanda kesihatan veterinar daripada Jabatan Veterinar dan dan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.

Usaha juga sedang dilaksanakan untuk membolehkan 300 rumah sarang burung walet dan kilang pemprosesan berdaftar menggunakan sistem itu tahun ini.

Selain itu, pihak berkuasa berkaitan juga sedang berunding dengan China mengenai paras nitrit dalam sarang burung walet yang boleh diterima.

Buat masa ini, China mengenakan sekatan ke atas sarang burung walet memandangkan paras tinggi nitrit yang disebabkan oleh stok berlebihan sarang terbabit dalam pasaran.

Sebaik sekatan itu dihapuskan, eksport sarang burung walet Malaysia yang dilakukan menerusi Sistem Jejak dan Kesan Sarang Burung Walet akan mempunyai tahap keselamatan tambahan yang memastikan keasliannya datang dari negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata syarikat tempatan yang menggunakan jenama 1Malaysia Best akan mengenal pasti sebuah syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport sarang burung walet dari Malaysia dipantau.

“Syarikat di China itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya produk sarang burung walet jenama 1Malaysia Best saja yang dijamin kualitinya dan selamat untuk dimakan,” katanya baru-baru ini.

Beliau menambah, antara lain, tindakan berkenaan akan memulihkan kembali industri itu yang mengalami masalah pemasaran ke luar negara akibat dakwaan produk itu mempunyai kandungan nitrit yang boleh membahayakan kesihatan.

“Pada 2011, kerajaan China telah melaksanakan penguatkuasaan kandungan nitrit sifar yang mengakibatkan kejatuhan mendadak harga sarang burung walet sehingga ke paras 50 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai polisi kerajaan China tersebut, beliau berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan kedua-dua negara sedang berbincang bagi mencapai kata sepakat mengenai kandungan nitrit yang dibenarkan.

Industri sarang burung walet Malaysia yang pesat berkembang kini dianggarkan sudah menguasai 20 peratus pasaran global.

Begitupun, peserta sektor itu kini terpaksa bersaing dengan sejumlah besar sumber sarang burung yang palsu dari negara jiran, manakala sesetengahnya diseludup ke negara ini untuk dieksport semula ke China.

No comments:

Post a Comment