Saturday, December 4, 2010

Dua kilang memproses sarang burung walit mengguna bahan kimia berbahaya dikenal pasti

Dua kilang memproses sarang burung walit mengguna bahan kimia berbahaya dikenal pasti

Posted on October 24, 2010, Sunday
SEREMBAN: Dua buah kilang memproses sarang burung walit dikenal pasti menggunakan bahan kimia berbahaya untuk menjadikan warna sarang burung itu kemerah-merahan, iaitu kategori yang terbaik, bertujuan menipu pembeli. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Chua Tee Yong berkata perbuatan itu menyebabkan China, selaku pengimport utama sarang burung itu, menghantar aduan kepada kementeriannya memandangkan penggunaan bahan kimia itu yang boleh menyebabkan kanser.

Sebagai tindakan, beliau berkata kementeriannya sudah pun mengarahkan kedua-dua kilang terbabit menghentikan pengeluaran dan tindakan akan diambil oleh jabatan kesihatan.
China mengimport sarang burung walit sebanyak RM1 bilion dari Malaysia, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Sehari Perladangan Burung Walit anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan Persatuan Pengusaha-pengusaha Burung Walit Negeri Sembilan di sini semalam.

Chua berkata garis panduan untuk pengusaha burung walit akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.
“Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan garis panduan ini. Ini akan membolehkan pihak berkuasa mengadakan tindakan memantau industri ini supaya rumah burung itu tidak dibuat sesuka hati,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu merekodkan kira-kira 6,000 orang pengusaha burung walit tetapi beliau menganggarkan jumlah tidak rasmi mungkin mencecah dua kali ganda.
Bernama difahamkan sarang burung walit yang sudah diproses untuk dijadikan makanan dan minuman kesihatan boleh mencecah sehingga RM8,000 sekilogram. — Bernama

No comments:

Post a Comment